Input your search keywords and press Enter.

Kakak 8 tahun selamatkan adik 8 bulan

M Update, 22/3/2019 – Keberanian Nik Intan Nabila Nik Fauzi Izani, 8, meredah api berjaya menyelamatkan adik lelakinya berusia lapan bulan daripada kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Rumah Murah Beserah, hari ini.

“Saya dengar ada orang jerit api, jadi saya terus angkat adik dan lari keluar daripada rumah,” kata Nik Intan Nabila ketika ditemui pusat penempatan sementara di Tabika Kemas Batu Hitam, di sini, hari ini.

Ibu mereka, Salimah Adam, 33, berkata Nik Intan menggadaikan nyawa sendiri untuk menyelamatkan Nik Khairi Aswa dan beliau bersyukur kedua-dua anaknya selamat dalam tragedi jam 9 pagi itu.

Walaupun panik, anak saya masih mampu menggagahkan diri memangku adiknya dan keluar dari rumah yang sedang terbakar, sejurus selepas dikejutkan jiran mengenai kebakaran, ketika itu mereka sedang menonton televisyen. Saya pula sedang bekerja di Sekolah Menengah (SM) Beserah apabila seorang kawan datang untuk memaklumkan mengenai kebakaran itu, mengatakan dua buah rumah terbakar.

Saya khuatir memikirkan keselamatan anak-anak saya,” kata ibu kepada empat anak itu ketika ditemui pemberita. Salimah berkata, ketika sampai di pekarangan rumahnya, suasana agak kecoh dengan dua buah rumah musnah terbakar dan anak-anaknya berada bersama beberapa jiran dan sedang menangis.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Normah Hamid, 49, berkata tidak ada orang di rumah apabila kebakaran yang memusnahkan semua harta bendanya termasuk dua buah motosikal, peralatan rumah dan pakaian itu berlaku. Saya sedang bekerja ketika itu, kini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, namun bersyukur kerana semua anggota keluarga terselamat,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung, yang melawat kedua-dua keluarga berkenaan hari ini, berkata mereka akan ditempatkan di dewan komuniti dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan bantuan sewajarnya.

“Kita akan rumuskan bagaimana hendak membantu kedua-dua keluarga ini membina semula kehidupan dan membincangkan dengan mereka apa tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply