M Update, 26/3/2019 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyasarkan 36 kampusnya di seluruh negara dapat memenuhi kriteria penarafan ‘UI-Green Metric World University Ranking’ tidak lama lagi.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof Dr Mohd Nazip Sulaiman berkata, sasaran itu boleh dicapai melalui pendidikan lestari dan pelaksanaan projek yang dapat memberi impak kepada gaya hidup sihat, keberkesanan penggunaan tenaga dan pemeliharaan sumber sedia ada.
Program menghijaukan kampus ini bukan sahaja membabitkan pelajar sekolah dan mahasiswa UiTM, tapi turut membabitkan masyarakat sekitar kampus.
Sebagai contoh, kawasan kampus UiTM Pahang di (Bandar Pusat) Jengka mempunyai kira-kira 120 hektar hutan untuk tujuan pembelajaran boleh dijadikan perintis kepada usaha melestarikan agenda kampus hijau seperti yang kita hasratkan.
Ini juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam usaha melahirkan generasi muda yang menghargai alam sekitar, menjaga sumber air bersih dan mengawal hakisan tanah yang boleh mengakibatkan bencana.
Melalui program menghargai kelestarian hutan ini, sudah pasti dapat meningkatkan rasa kecintaan kita terhadap alam sekitar, seterusnya dalam menyumbang kepada usaha mengurangkan kesan pemanasan global dan perubahan iklim.
Sumber : Harian Metro