Input your search keywords and press Enter.

APA YANG KITA BOLEH BELAJAR DARIPADA SERANGAN PENGGANAS DI NEW ZEALAND ?

Tragedi tembakan rambang oleh pengganas warga Australia di dua buah masjid di New Zealand baru sahaja berlalu. Seramai 50 orang terbunuh dan lebih 43 cedera. Ianya memberikan kesan yang mendalam dan trauma kepada mangsa dan keluarga. Rakyat Malaysia turut terbunuh dalam kejadian keganasan terbaharu itu. Apakah yang kita boleh pelajari?

Pertama, walaupun New Zealand terkenal sebagai antara sebuah negara paling aman di dunia tetapi ia tidak menjamin tidak akan berlaku aktiviti pengganas. Aktiviti pengganas boleh berlaku di mana-mana jua, kepada sesiapa jua termasuk di negara maju yang terkenal tahap keselamatan mereka berada pada kedudukan yang terbaik. Di Malaysia, sebuah negara berbilang kaum dan turut merupakan lokasi pelancong yang popular perlu melihat semula insiden di New Zealand dengan lebih spesifik. Adakah persediaan kita berhadapan dengan aktiviti keganasan sudah cukup mantap? Sesungguhnya, malang tidak berbau. Setakat ini, pujian boleh diberikan kepaada PDRM kerana telah melakukan banyak tangkapan individu-individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan.

Kedua, dunia kini harus membuka mata bahawa mengaitkan aktiviti keganasan kepada Islam dan Islam fobia sudah tidak relevan lagi. Keganasan dilakukan oleh sesiapa sahaja hatta mereka yang bukan beragama Islam sepertimana yang berlaku di New Zealand.

Ketiga, kita juga perlu melihat bagaimana ketegasan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengeluarkan kenyataan bahawa serangan tersebut merupakan tindakan pengganas. Beliau turut menunjukkan keprihatinan terhadap keluarga mangsa malah menunjukkan penghormatan terhadap penganut agama Islam seperti memakai skaf ketika memasuki masjid dan ketika melawat mangsa yang cedera. Beliau turut emberi sokongan kepada keluarga mangsa dan komuniti Islam di Christchurch atas solidariti sebagai warga New Zealand. Setiap mangsa juga turut diberikan Skim Pampasan Kecemasan Tempatan (ACC) bagi membiayai kos pengebumian dan rawatan tanpa syarat. Beliau turut memulakan proses pendakwaan ke atas pengganas dan komited untuk meminda undang-undang senjata api di New Zealand.

Keempat, komitmen awal Perdana Menteri New Zealand sebenarnya telah berjaya mengawal dan mententeramkan keadaan dengan pantas sebelum ianya suka dikawal. Pihak berkuasa New Zealand telah melantik agensi Government Communications Security Bureau (GCSB) dan New Zealand Security Intelligence Service (SIS) untuk mengawal keadaan. Jawatankuasa Pegawai Penyelarasan Keselamatan Domestik dan Luar Negeri (ODESC) diaktifkan dengan mengadakan perbincangan di Ibu Pejabat Polis Negara di Wellington untuk menangani insiden keganasan. Pasukan khas turut ditubuhhkan di pusat bandar di mana terdapatnya laporan orang ramai ditembak. Lembaga Kesihatan Daerah Canterbury mengaktifkan pelan kawalan keselamatan. Malah kerajaan New Zeland tidak teragak-agak mengaktifkan darurat kerana pengganas yang masih aktif. Malahan perintah berkurung turut dikeluarkan di sekolah, bangunan yang strategik dan seluruh bandar Christchurch dalam 1 jam selepas kejadian. Pihak polis New Zealand turut berjaya menahan 4 orang suspek dalam tempoh kurang sejam justeru berjaya mengekang daripada berlakunya serangan ketiga ke atas masjid yang berhampiran. Perdana Menteri New Zealand juga mengumumkan akan mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas agensi keselamatan dan risikan New Zealand selepas berlakunya serangan Christchurch.

Kelima, kita juga perlu belajar bagaimana New Zealand mengurus isu keganasan ini di media antarabangsa, media perdana dan media sosial. Pada hari pertama kejadian, video pengganas memasuki masjid dan menembak jemaah masjid telah menjadi viral tetapi Kerajaan New Zealand dapat mengekang penyebaran video tersebut dengan pantas di youtube, facebook, Instagram, tweeter dan lain-lain. Sidang Media pula hanya diberikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Pesuruhjaya Polis New Zealand dan Datuk Bandar Christchurch. Dalam insiden tersebut, Perdana Menteri New Zealand memberi kenyataan situasi insiden dalam tempoh 3 jam selepas kejadian. Pengurusan media kelihatan terselaras. Kenyataan oleh media asing pula dilihat berdasarkan kenyataan media yang diberikan oleh pihak berkuasa New Zealand. Perkara ini sangat penting kerana sekiranya kita dapat mengawal media, maka kita dapat mengawal minda masyarakat dan seterusnya mengelakkan kejadian penularan berita tidak sahih.

Keenam, kita juga boleh melihat pengurusan krisis yang efisien seperti Program pemulihan berjalan dengan baik. Rakyat New Zealand tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan bersatu mengutuk perbuatan pengganas. Mereka memberikan sokongan kepada keluarga mangsa dan komuniti Islam di Christchurch. Malahan, New Zealand berjaya mengawal campur tangan negara asing seperti dari Turki. Tindakan New Zealand mesyuarat dengan negara-negara luar yang rakyatnya terlibat menjadi mangsa merupakan suatu diplomasi yang berkesan.

Kesimpulannya, kita di Malaysia perlu kembali kepada asas yang paling penting dalam proses pembinaan negara iaitu bersatu padu, hormat menghormati dan bersikap toleran. Doktrin keganasan dan pelampau tidak sesuai diamalkan di negara majmuk Malaysia kerana kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan adalah wajah negara kita sejak sekian lama. Seperti juga slogan sambutan Hari Polis ke-212 semalam, polis dan masyarakat berpisah tiada maka marilah kita sebagai orang awam menjadi mata dan telinga kepada negara supaya kita turut sama dapat memastikan keamanan dan keharmonian berterusan.

Leave a Reply