Input your search keywords and press Enter.

Warga Emas Dipenjara Akibat Menipu

M Update, 4/4/2019 – Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini menjatuhi hukuman penjara empat tahun terhadap warga emas selepas didapati bersalah menipu seorang lelaki untuk urusan permohonan tanah.

Tertuduh Leong Tet Yee @ Michael, 69, didakwa secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan wang untuk urusan permohonan tanah di Pulau Mangalum, kira-kira lima tahun lalu.

Majistret Afiq Agoes turut mengarahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM1,000 dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara sebulan.

Selain itu, Leong juga diarahkan membayar pampasan sebanyak RM20,000 kepada mangsa dan sekiranya gagal boleh dihukum penjara tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya Chia Yun Kong, 56, untuk mempercayai tertuduh boleh menguruskan permohonan tanah.

Tertuduh juga secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan wang pengurusan berjumlah keseluruhan RM270,000.

Perbuatan itu dilakukan di dua bank berasingan di Kota Kinabalu antara 22 Mei hingga 8 September 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Lee Swee Beng manakala tertuduh diwakili peguam Sylyester Kuan.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply