Input your search keywords and press Enter.

Penunjuk Perasaan Sudan Tuntut Pembentukan Kerajaan Awam ‘segera’

M Update, 15/04/2019 – Ribuan penunjuk perasaan masih berkhemah di luar ibu pejabat tentera di sini untuk mengekalkan tekanan ke atas majlis tentera yang mengambil alih kuasa selepas menyingkirkan Omar Khamis lalu.

Penunjuk perasaan Sudan semalam menuntut pemerintah tentera negara itu ‘segera’ menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam yang seterusnya membawa pemimpin disingkir Omar al-Bashir ke muka pengadilan.

Pertubuhan yang menerajui bantahan menentang Omar, Persatuan Profesional Sudan (SPA) mendesak majlis itu ‘segera memindahkan kuasa kepada kerajaan awam.’

SPA juga menuntut ‘kerajaan peralihan berikutnya dan tentera membawa Omar dan kesemua ketua Perisikan Nasional dan Perkhidmatan Keselamatan (NISS) ke muka pengadilan.

“Persatuan Profesional Sudan menggesa penyokongnya meneruskan bantahan sehingga revolusi mencapai tuntutannya,” tambahnya.

Majlis tentera kemudian mengadakan sidang media yang mana jurucakapnya tidak menjawab tuntutan terbaharu penunjuk perasaan sebaliknya mengumumkan pelantikan seorang ketua perisikan baharu.

Terdahulu, majlis tentera bertemu parti politik dan menggesa mereka bersetuju terhadap seorang ‘individu bebas’ untuk menjadi perdana menteri, kata seorang wakil AFP yang hadir dalam pertemuan.

“Kami mahu menubuhkan sebuah kerajaan awam berdasarkan kebebasan, keadilan dan demokrasi,” kata seorang anggota majlis, Leftenan Jeneral Yasser al-Ata kepada beberapa parti politik, menggesa mereka bersetuju terhadap individu dalam kerajaan awam.

Bantahan itu bertegas, wakil awam perlu menyertai majlis tentera.

Satu delegasi 10 anggota mewakili penunjuk perasaan menyerahkan tuntutan mereka ketika rundingan dengan majlis lewat kelmarin, menurut kenyataan kumpulan payung Pakatan Kebebasan dan Perubahan yang menerajui perhimpunan.

Kementerian Luar menggesa masyarakat antarabangsa menyokong majlis tentera ‘untuk mencapai matlamat Sudan ke arah peralihan demokratik.’

Ia berkata, ketua majlis, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan ‘komited melengkapkan kerajaan awam dan peranan majlis akan mengekalkan kedaulatan negara.’ -AFP

Leave a Reply