M-Update,16/4/2019, SANDAKAN: Pelajar disaran menjadi duta di sekolah masing-masing bagi memperluaskan pendidikan dan kesedaran kepenggunaan untuk membentuk generasi pengguna yang bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, program yang dilaksanakan kementerian dengan pihak sekolah itu akan membantu memberi kesedaran kepada masyarakat sebagai pengguna.
“Saya percaya dengan konsep belajar sambil bermain dan pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) memenuhi kriteria untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepenggunaan. “Selain pelajar dapat bersuai kenal dan menjalinkan persahabatan, mereka juga secara tidak langsung akan berkongsi ilmu yang mereka dapat dalam permainan ini kepada masyarakat terutamanya orang sekeliling mereka yang juga sebagai pengguna,” katanya ketika berucap dalam pertandingan CIP-KPS Peringkat Negeri Sabah 2019, di sini, kelmarin.
Terdahulu, beliau berkata pertandingan itu memerlukan kecerdasan minda dan fizikal yang mana peserta diuji dalam lima modul cabaran iaitu pengguna bijak, alam sekitar, pemakanan sihat, kewangan berhemat dan ‘team-building’.Dalam pertandingan itu, empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu muncul sebagai pasukan terbaik CIP-KPS kali ini.
Empat peserta itu juga johan bagi Zon Kota Kinabalu menewaskan peserta dari lapan zon lain dan akan mewakili Sabah ke pertandingan peringkat kebangsaan yang dijangka akan diadakan pada Julai nanti.Seramai 72 pelajar dari 18 sekolah terbabit dalam pertandingan ala ‘Explorace’ di Sandakan kali ini.
–BHarian