Input your search keywords and press Enter.

KPM : TVET Bakal Perkenal Kursus Teknologi Dron, AI

M Update, 5/11/2019 – Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kursus agro berteraskan penggunaan teknologi, khususnya berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata inisiatif itu sejajar perkembangan semasa dan permintaan terhadap produk pertanian di negara ini yang semakin meningkat, selain menawarkan peluang meluas kepada graduan.

“Kita akan menawarkan banyak kursus di institusi TVET, termasuk agro yang berteraskan teknologi seperti penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi lain,” katanya.

Bagi memastikan graduan berdaya saing dan dilengkapi pengetahuan terkini berkaitan IR 4.0, Maszlee berkata, universiti diminta bekerjasama lebih rapat dengan pihak industri dalam menyediakan silibus serta kurikulum berdasarkan kehendak pasaran semasa.

“Kurikulum ini akan disemak setiap tahun demi memastikan graduan tidak ketinggalan, kita mahu mereka dilengkapi pengetahuan terkini agar dapat diserap masuk terus ke alam pekerjaan.

“Di peringkat sekolah, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) agar murid serta pelajar didedahkan dengan literasi digital terkini, misalnya bangunkan robotik dan coding di sekolah,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply