M-Update,23/4/2019ROME: Atalanta menghidupkan semula peluang ke Liga Juara-Juara musim depan selepas bangkit menewaskan Napoli 2-1 dalam saingan Serie A, pagi tadi.Pasukan pelawat terselamat dengan dua gol lewat babak kedua dan kini berkongsi mata dengan dua kelab Milan yang juga terikat seri pada pertemuan Sabtu lalu. Atalanta kini menghuni tangga kelima berkongsi 56 mata bersama AC Milan di tangga keempat.
Napoli beraksi di Stadio San Paolo yang separuh penuh susulan kekalahan ditangan Arsenal dalam suku akhir Liga Europa, Khamis lalu.Bagi Napoli, cita-cita merangkul gelaran musim ini sudah berakhir Sabtu lalu selepas Juventus menjulang gelaran kelapan mereka. Napoli kini hanya boleh berbangga menamatkan musim ini sebagai naib juara Serie A buat kali keempat dalam tujuh musim.
Musim lalu ketika dibimbing Maurizio Sarri, mereka menamatkan musim dengan hanya ketinggalan empat mata di belakang Juventus, dan kekalahan pagi tadi menyaksikan mereka ketinggalan 20 mata dengan baki lima perlawanan.Skuad Carlo Ancelotti mencipta banyak peluang, namun pelawat mendapat tuah minit akhir tatkala segelintir penyokong Napoli menggantung sepanduk besar yang mahukan Sarri kembali membimbing Napoli.
Dries Mertens meletakkan Napoli di depan pada minit ke-28 selepas menerima umpanan pertahanan kelahiran Perancis, Kevin Malcuit.Selepas jaringan itu, Mertens turut memiliki beberapa peluang mencipta hatrik namun cubaannya sipi. Cubaan Arkadiusz Milik pada minit ke-50 nyaris menewaskan penjaga gol Atalanta, Pierluigi Gollini tetapi ia dihalang pertahanan veteran, Andrea Masiello, yang sempat dikuis keluar.
Atalanta menemui detik beharga pada minit ke-69 apabila Hans Hateboer yang tidak dikawal terus melorongkan bola ke kaki Duvan Zapata yang mudah menolak masuk melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, David Ospina. Jaringan itu juga gol ke-21 liga diajringkan pemain Colombia itu, hanya ketinggalan satu gol di belakang penjaring terbanyak Serie A milik pemain Sampdoria, Fabio Quagliarella.
Zapata juga membantu mencipta gol kedua pelawat ketika perlawanan berbaki 10 minit apabila bijak melepasi pertahanan Napoli untuk mengumpan kepada Mario Pasalic yang meledak gawang dari jarak 10 meter. – Reuters