M Update, 24/04/2019 – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un tiba di Russia hari ini untuk pertemuan pertama dengan Presiden Vladimir Putin ketika Pyongyang mahu merapatkan lagi hubungan dengan sekutu tradisinya di tengah kebuntuan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS).
Pertemuan esok di bandar tepi laut Pasifik di sini adalah yang pertama antara Jong-un dan seorang lagi ketua negara sejak rundingan dengan Presiden Donald Trump di Hanoi Februari lalu, gagal tanpa sebarang perjanjian.
Terdahulu, agensi berita Korea Utara, KCNA melaporkan, Jong-un berlepas menaiki kereta api ke Russia, menamakan anggota rombongan sebagai Menteri Luar Ri Yong Ho, yang memberitahu media selepas pertemuan di Vietnam, pendirian negara itu tidak berubah.
Kereta api perisai persendirian Jong-un tiba di bandar sempadan Khasan, lapor media Russia, di mana beliau disambut secara tradisi dengan roti dan garam.
Bendera Russia dan Korea Utara dilihat dikibarkan di tiang lampu pulau Russky di sini, di mana pertemuan dijangka berlangsung dalam sebuah kampus universiti.
Rundingan itu disertai jemputan berulang daripada Putin sejak Jong-un memulakan lanjutan hubungan diplomatik tahun lalu.
Sejak Mac 2018, pemimpin Korea Utara itu mengadakan empat pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, tiga dengan Moon Jae-in, dua bersama Trump dan sekali dengan Presiden Vietnam.
Penganalisis berkata, beliau kini mengintai sokongan meluas antarabangsa susulan pertelingkahannya dengan Washington. -AFP