
M Update, 03/03/2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mengeluarkan kenyataan berlebihan di media sosial yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama serta kaum.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, rakyat perlu bersikap matang dan tidak menjadikan platform media sosial sebagai medan provokasi yang boleh menggugat keharmonian negara.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menyemak maklumat daripada sumber sahih dan dokumen rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan salah faham.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kecaman yang timbul di media sosial susulan tindakan seorang penuntut universiti awam memuat naik hantaran yang didakwa menghina serta mencemarkan al-Quran di platform Threads baru-baru ini.
Terdahulu, beliau turut mengesahkan bahawa pelajar terbabit akan didakwa di Mahkamah Kuantan, Pahang hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa suspek yang kini direman berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh tahanan.
Terdahulu, pada 25 Februari lalu, penuntut universiti itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Islam di media sosial, dengan sebanyak 62 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan kes tersebut.