Input your search keywords and press Enter.

Bencana Sg Kim Kim : Pengarah Syarikat Mengaku Tak Bersalah

M Update, 25/4/2019 – Pengarah syarikat kilang memproses tayar terpakai warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan bersubahat melakukan pelupusan buangan minyak di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, bulan lalu.

Sim Wei Der, 50, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membacakan kertas pertuduhan terhadapnya di depan Hakim, Jailani Rahman. Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa bersubahat dengan tiga tertuduh yang didakwa sebelum ini iaitu pemandu lori, N Maridass, 35, serta dua pengarah bersama, Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Chao, 34, yang juga warga Singapura melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak ke dalam Sungai Kim Kim.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang, antara 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu, dibuat dengan menggunakan lori dan semi treler tangki minyak sawit tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(4) akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan. Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali tidak bercadang menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan pertuduhan dihadapi lelaki terbabit adalah serius yang mana ramai orang terkesan akibat pencemaran itu terutama pelajar.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Joshua Tay, membantah dengan alasan seorang lagi pengarah syarikat yang juga warga Singapura, dituduh sebelum ini dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan, perlu melapor diri di Balai Polis Pasir Gudang pada 15 hari bulan setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Mei ini. Semalam, tertuduh yang dikehendaki sejak sebulan lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada 11.17 pagi. – HM Online

Leave a Reply