M Update, 02/05/2019 – Hampir 800,000 orang di timur pesisir pantai India dipindahkan sebelum kedatangan taufan sekuat 200 kilometer sejam dijangka melanda, kata seorang pegawai, hari ini.
Perkhidmatan Cuaca India berkata, Taufan Siklon Fani dijangka melanda pada petang Jumaat dekat bandar Puri.
Pegawai jabatan bantuan negara memberitahu AFP bahawa 780,000 orang dipindahkan ke tempat-tempat yang lebih selamat dalam sekelip mata dari sekurang-kurangnya 13 daerah di Odisha yang bakal berdepan taufan kuat itu.
“Lebih ramai penduduk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat,” kata pegawai jabatan itu kepada AFP.
Kira-kira 1,000 tempat perlindungan di sekolah dan bangunan kerajaan di jadikan kediaman untuk menempatkan lebih sejuta orang.
Menurut laporan, taufan yang bakal melanda itu dikatakan yang terbesar melanda timur India dalam tempoh dua dekad, sedang berada di Teluk Bengal kira-kira 450 kilometer di luar pantai dan bergerak ke arah barat.
Taufan itu dijangka membawa angin dengan kelajuan antara 180 hingga 190 kilometer sejam membawa kepada 200 kilometer dan bersamaan dengan kekuatan kepada kategori 3 hingga 4 taufan. Ia adalah taufan keempat yang melanda negara itu dalam tempoh tiga dekad. – AFP