Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Abdul Hamid Ketua Polis Negara Baharu

M Update, 2/5/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baharu.

Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menandatangani surat pelantikan Abdul Hamid.

“Ya, saya fikir dialah jadi IGP (Ketua Polis Negara) dan saya rasa YDP Agong sudah tandatangan surat,” katanya.

Abdul Hamid akan menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib, Jumaat ini. Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017.

Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) serta elemen pengganas Daesh. – BH Online

Leave a Reply