Input your search keywords and press Enter.

Kes Tembak Universiti Carolina Utara, Penuntut Gadai Nyawa Lawan Penyerang


KETUA Polis Charlotte-Mecklenburg, Kerr Putney.

M Update, 02/05/2019 –  Seorang penuntut berusia 21 tahun menggadaikan nyawanya dengan menjatuhkan penyerang yang melepaskan tembakan di bilik kuliah sebuah universiti, kata polis di Amerika Syarikat (AS) semalam.

Ketua Polis Charlotte-Mecklenburg, Kerr Putney berkata, pihak berkuasa masih berusaha mencari motif sebenar serangan dua hari lalu di Universiti Carolina Utara yang mengorbankan penuntut sarjana muda, Riley Howell dan seorang lagi mangsa.

Bekas penuntut, Trystan Terrell, 22 ditahan susulan kejadian di kampus Charlotte itu yang turut mencederakan empat mangsa lain.

Putney berkata, beliau berbual dengan bapa Howell mengenai tindakan berani pemuda berkenaan.


KETUA Polis Charlotte-Mecklenburg, Kerr Putney.

“Apabila saya berbual dengan bapanya, dalam keadaan daripada seorang bapa kepada bapa lain, secara peribadi saya berharap dapat meluahkan semua ini dengan kata-kata.

“Saya berjanji kepada beliau bahawa polis amat komited dalam menyelesaikan kes ini sepenuhnya dan kami akan mencari punca sebenar kejadian serta memberi mereka jawapan.

“Sama ada anda memutuskan untuk lari, bersembunyi, berlindung atau melawan penyerang,” katanya.

Berikutan tiada tempat untuk bersembunyi atau melarikan diri, Howell memutuskan untuk mengambil pilihan terakhir iaitu melawan penyerang berkenaan.

“Malangnya, beliau terkorban dalam tindakan itu dalam usaha membantu menyelamatkan nyawa semua orang,” kata Putney.

Seorang lagi penuntut yang maut dikenali sebagai Ellis Parlier, 19 yang mengambil jurusan sains komputer dari Midland, Carolina Utara.

Terrell berhadapan dua tuduhan membunuh dan empat tuduhan cubaan membunuh. – AFP

Leave a Reply