Input your search keywords and press Enter.

AS Kerah Kapal Pengangkut Pesawat Penggempur Ke Asia Barat

M Update, 06/05/2019 – Amerika Syarikat (AS) menghantar kumpulan kapal pengangkut pesawat penggempur dan pasukan pengebom ke Asia Barat sebagai mesej yang ‘jelas dan tegas’ kepada Iran, kata Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton semalam.

“Sebagai tindak balas kepada beberapa petunjuk dan peringatan yang membimbangkan, Amerika Syarikat mengerahkan kumpulan kapal pengangkut pesawat penggempur USS Abraham Lincoln dan pasukan pengebom ke wilayah Pusat Kawalan AS,” kata Bolton dalam satu kenyataan, tanpa menyatakan sifat sebenar ancaman Tehran itu.

“AS tidak mahu mencetus peperangan dengan rejim Iran, tetapi kami bersiap sedia untuk membalas sebarang serangan, sama ada oleh proksi, Kor Pengawal Revolusi Islam (RGC) mahupun tentera biasa Iran,” kata Bolton dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai AS berkata pasukan itu dikerah ke rantau terbabit sebagai pencegahan terhadap apa yang disifatkan sebagai persediaan terhadap serangan oleh pasukan Iran dan proksinya terhadap pasukan AS di rantau itu.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, Amerika Syarikat bagaimanapun tidak menjangkakan sebarang serangan ke atas pasukannya. – AFP

Leave a Reply