Input your search keywords and press Enter.

13 Maut Jet Peribadi Terhempas Di Mexico

M Update, 07/05/2019 –  Bangkai pesawat milik syarikat swasta yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Las Vegas ke Monterrey, di utara Mexico, berjaya ditemui semalam.

Bagaimanapun, tiada tanda yang menunjukkan kesemua 13 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat itu selamat.

Pengawal trafik udara berkata, mereka terputus hubungan dengan jet Bombardier Challenger 601 pada malam Ahad lalu, selepas ia dilaporkan hilang kawalan ketika berada di Coahuila, di utara Mexico.

“Ketika terbang di ruang udara kawasan itu, pegawai berjaya mengesan serpihan pesawat di kawasan pergunungan yang sukar diakses di Ocampo, Coahuila.

“Hasil pemantauan menunjukkan tiada mangsa yang selamat,” kata kementerian keselamatan awam negeri dalam satu kenyataan.

Imej bangkai pesawat yang disiarkan stesen televisyen Mexico juga menunjukkan serpihan pesawat bertaburan di lokasi.

Terdahulu, pegawai penerbangan negeri dilaporkan berkata, 11 penumpang menaiki pesawat itu.

Namun, kementerian keselamatan awam negeri mendedahkan angka sebenar penumpang, adalah seramai 10 orang, selain tiga anak kapal, iaitu masing-masing seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan pramugari.

Media Mexico melaporkan, pihak berkuasa percaya jet itu dinaiki sekumpulan penumpang yang menyaksikan perlawanan tinju membabitkan peninju negara itu, Saul ‘Canelo’ Alvarez menentang Daniel Jacobs di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Destinasi pesawat itu adalah bandar industri Monterrey, di negeri Nuevo Leon yang terletak di sempadan Coahuila.

Tempoh perjalanan dari Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat ke Monterrey mengambil masa selama tiga jam.

Pihak berkuasa berkata, cuaca buruk disyaki menjadi salah satu faktor kemalangan itu. – AFP

Leave a Reply