Input your search keywords and press Enter.

PENJAWAT AWAM MENUJU ZERO RASUAH

Beberapa minggu ini YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad masih memberikan perhatian lebih kepada penjawat awam. Ini membuktikan betapa pentingnya penjawat awam sebagai organ utama pentadbiran Negara yang memainkan peranan penting menyampaikan polisi Kerajaan dengan betul dan tepat kepada rakyat.

Pada zaman pentadbiran kolonial British, wujud tanggapan bahawa kita tidak boleh mentadbir Negara sendiri dengan baik. Namun begitu, apabila perjuangan kemerdekaan berjaya, tanggungjawab mentadbir Negara terletak kepada penjawat awam tempatan yang dulunya dianggap atau diletakkan sebagai second rank leader. Namun begitu, akhirnya penjawat awam membuktikan mereka mempunyai kebolehan mentadbir Negara dengan lebih baik lagi.

Saya teringat sebuah buku pemberian mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail bertajuk “Ibrahim Pahlawan Melayu’ (DBP). Salah satu perjuangan Tun Ibrahim Ismail ialah meletakkan pegawai-pegawai ATM duduk sama tinggi dan berdiri sama tinggi dengan pegawai-pegawai tentera kolonial British. Tidak ada lagi pengasingan tempat ketika jamuan pegawai tentera, sebaliknya pegawai-pegawai tentera ATM diletakkan di kedudukan yang sewajarnya.

Kesetiaan dialih daripada pentadbiran kolonial British kepada Kerajaan yang ditadbir oleh rakyat sendiri. Selepas kemerdekaan (1957), Negara kita bergerak jauh lebih maju daripada pentadbiran kolonial British. Kita dapat memberikan tumpuan yang lebih besar kepada pembangunan Negara.

Pertukaran Kerajaan berlaku pada 9 Mei 2018. Penjawat awam serba salah kerana bertukar tampuk pemerintahan yang mana ianya tidak pernah berlaku sebelum ini di peringkat persekutuan.

Untuk mengalih kesetiaan bukanlah mudah, tetapi ianya boleh dilakukan. Penting untuk diamalkan ialah, kita mesti mentadbir Negara dengan baik untuk kebaikan bersama. Pentadbir dan kakitangan awam dikehendaki bersifat neutral dan menyokong serta akur kepada Kerajaan pilihan rakyat. Itulah prinsip asas penjawat awam supaya Negara sentiasa berada di dalam keadaan aman dengan meraikan proses demokrasi dengan matang.

Penjawat awam hendaklah beringat, bahawa kita mentadbir kerana Negara bukan untuk kepentingan individu. Oleh kerana itu, pentadbir perlu mematuhi arahan Kerajaan yang memerintah supaya Negara dapat ditadbir dengan baik dan seterusnya kebaikan itu dinikmati oleh rakyat jelata.

Setahun Kerajaan memerintah, tiada banyak masalah dari pihak pentadbir dan penjawat awam. Isu-isu seperti rasuah dan salah guna kuasa di kalangan mana-mana penjawat awam ditolak oleh Kerajaan baru. Usaha untuk memerangi rasuah dijalankan secara agresif oleh Kerajaan. Apabila Rasuah dihapuskan, pentadbiran Kerajaan akan menjadi semakin efektif.

Selain daripada undang-undang, integriti dan kepercayaan agama juga penting untuk membendung rasuah.  Perdana Menteri meminta supaya kakitangan awam jangan lagi terlibat dengan kegiatan rasuah, atau apa-apa perkara yang mendorong kepada perbuatan rasuah. Apabila negara berjaya menolak rasuah, maka negara akan semakin maju.

*Artikel ini disesuaikan daripada ucapan YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam majlis perjumpaan dengan penjawat awam di Putrajaya pada 30 April 2019.

Leave a Reply