Input your search keywords and press Enter.

Empat kanak-kanak kritikal dirempuh kereta di Jepun

M Update, 08/05/2019 – Sekurang-kurangnya empat kanak-kanak cedera parah selepas sebuah kenderaan terbabas dan merempuh sekumpulan murid sebuah pusat asuhan di barat wilayah Shiga Jepun, kata polis.

Tidak dapat dipastikan mengapa kenderaan terbabit terbabas dari jalan utama sebelum merempuh sekumpulan kanak-kanak di bandar Otsu.

“Kemalangan berlaku di sebuah jalan di Ogaya berhampiran bandar Otsu,” kata seorang jurucakap polis kepada AFP.

“Kenderaan itu merempuh 15 kanak-kanak sebuah pusat asuhan yang sedang berjalan. Beberapa orang awam juga turut tercedera,” tambahnya.

Kerajaan tempatan turut mengesahkan kejadian itu, namun tiada maklumat lanjut diperoleh.

Penyiar awam, NHK melaporkan empat kanak-kanak dalam keadaan kritikal manakala selebihnya dimasukkan ke hospital selepas kemalangan itu.

Difahamkan, ketika kejadian kanak-kanak terbabit dan guru mereka berada di laluan pejalan kaki berhampiran persimpangan sebelum dirempuh kenderaan kecil itu.

Maklumat mengenai pemandu terbabit masih belum dapat dipastikan, namun Jepun menyaksikan peningkatan jumlah kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu warga emas.

Menurut Agensi Polis Negara, pemandu berusia lebih 65 tahun bertanggungjawab ke atas 965 kemalangan maut di Jepun. Lebih suku daripada jumlah itu pada 2016.

Kebanyakan kemalangan yang disebabkan oleh pemandu warga tua adalah berpunca dari kekeliruan membabitkan pemecut dan brek atau hilang kawalan stereng.

Bulan lalu, seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia tiga tahun terbunuh selepas seorang lelaki berusia 87 tahun merempuh basikal mereka.

Pemandu itu mendakwa kemalangan berpunca dari kegagalan kenderaan dan polis masih menyiasat. – AFP

Leave a Reply