Input your search keywords and press Enter.

8 Mati Penyerang Letup Diri Di Pasar

M Updat, 10/05/2019 – Seramai lapan orang terbunuh dan 15 yang lain cedera dalam serangan pengebom nekad di sebuah pasar dekat sini, kata seorang pegawai keselamatan.

“Seorang pengebom nekad memakai tali pinggang peledak meletupkan diri berdekatan sebuah gerai yang dipenuhi orang ramai di pasar Jamila,” kata seorang pegawai kanan polis yang tidak mahu identitinya di dedahkan.

Seorang pegawai perubatan dekat hospital Al-Kindi mengesahkan menerima lapan mayat. Setakat ini tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Serangan itu dikatakan berlaku pada jam 9.00 malam waktu tempatan, ketika kebanyakan penduduk Iraq selesai berbuka puasa dan berada di kawasan pasar.

Iraq berdepan konflik bertahun lamanya dan pada 2017, mengisytiharkan kemenangan ke atas kumpulan militan Daesh selepas beberapa bulan berusaha mengusir kumpulan yang memperkenalkan diri mereka sebagai ‘khalifah’.

Bagaimanapun serpihan kumpulan itu masih kekal aktif, kerap menyerang orang awam dan pasukan keselamatan di seluruh negara.

Letupan di beberapa kawasan majoriti Syiah kerap berlaku di Iraq, pada November tahun lalu, enam orang terbunuh dan kebanyakan mereka adalah orang awam.

Serangan pengebom nekad berkembar di Baghdad pada Januari tahun lalu turut mengorbankan 31 orang, serangan yang sama berlaku dalam tempoh tiga hari. – AFP

Leave a Reply