M Update, 10/5/2019 – Seorang lelaki melecur di muka dan badan dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandung kerana mahu menuntut wang insurans bahagiannya di sebuah pangsapuri dekat Jalan Kaki Bukit Gelugor, di sini, Selasa lalu.
Insurans perlindungan yang merangkumi simpanan itu dikatakan dibeli oleh mendiang ibunya sejak mangsa masih kecil untuk mereka sekeluarga. Beberapa tahun selepas ibu mangsa meninggal dunia pada 2005, insurans itu matang. Bapanya melakukan proses tuntutan sebelum mengagihkan kepada semua anak, namun mangsa mendakwa tidak memperoleh bahagiannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa berusia 35 tahun yang tidak bekerja dikatakan pergi ke rumah abangnya untuk menuntut wang insurans berjumlah RM30,000 daripada bapa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata bagaimanapun ketika mangsa berada di hadapan pintu pagar rumah terbabit, bapanya didakwa hanya menghulurkan wang RM10 sebelum menyimbah air panas ke arah muka anak bongsu itu.
Che Zaimani berkata, mangsa memaklumkan sudah beberapa kali meminta bapanya menyerahkan bahagian wang insurans berkenaan, namun sering diberikan pelbagai alasan. Mangsa tidak berputus asa dan pergi ke rumah abangnya untuk berjumpa bapa, namun dipercayai disimbah air panas sehingga menyebabkan muka serta badan cedera.
Mangsa kemudian pergi ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan sebelum membuat laporan polis terhadap tindakan bapanya itu. Mangsa mendakwa ini kali kedua dia disiram air panas oleh individu sama,” katanya. Susulan itu, Che Zaimani berkata, polis menahan bapa berusia 66 tahun itu di rumah abang mangsa, semalam, untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, suspek yang mengaku melakukan perbuatan itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap orang lain,” katanya. – BH Online