M Update, 15/5/2019 – “SAYA terkejut apabila bunyi sesuatu jatuh di bumbung kereta dan ketika itu saya ingat kereta dibaling benda keras, tetapi tidak lama selepas itu baru saya perasan, rupa -rupanya hujan batu,” kata warga Brunei, Awang Hashim Ibrahim, 54, ketika menceritakan detik bandar Limbang dilanda hujan air batu, petang semalam.
Awang Hashim berkata, ketika kejadian jam 6.30 petang itu, dia dalam perjalanan melawat keluarganya di Limbang. Bagaimanapun katanya, angin kencang disusuli dengan hujan lebat berlaku sebaik saja dia tiba di kawasan bandar, sekali gus memaksanya untuk memperlahankan kenderaan.
“Saya terkejut apabila bumbung kereta ditimpa sesuatu dan bunyinya agak kuat berbanding hujan biasa. Saya cemas dan terpaksa memberhentikan kenderaan di tepi jalan. Ketika itu, saya melihat ketulan putih kecil menimpa cermin. Seketika kemudian, saya keluar dari kereta dan itulah pertama kalinya saya melihat hujan batu yang berbentuk ketulan ais sebesar ibu jari,” katanya kepada NSTP.
Fenomena alam yang jarang berlaku itu turut menarik perhatian orang ramai apabila ada yang mengutip ketulan ais berkenaan.
Penduduk, Suhaili Ibrahim, 34, berkata, kejadian ketika umat Islam di bandar ini sedang berbuka puasa itu berlaku secara tiba-tiba dan mereka dikejutkan dengan bunyi kuat apabila ketulan ais menimpa bumbung bangunan dan kereta.
“Saya bergegas keluar rumah selepas terdengar jeritan jiran. Pada mulanya saya takut namun perasaan itu bertukar teruja kerana inilah kali pertama melihat hujan batu. Ia melantun di jalan selama beberapa minit. Tanpa membuang masa, saya mengutip ketulan ais yang bertaburan untuk melihatnya dari dekat,” katanya. – HM Online