Input your search keywords and press Enter.

Jururawat Ditemui Mati

M Update, 16/5/2019 – Misteri kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dipercayai hampir terungkai.

Ini susulan penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya dekat sini, semalam, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan. Sumber berkata, mayat ditemui pemilik unit kondominium berkenaan yang datang ke unit itu bersama dua pekerja penyelenggara untuk membaiki mesin basuh yang rosak, kira-kira jam 2.30 petang. Pemilik rumah dikatakan cuba menghubungi penghuninya sejak beberapa hari lalu, tetapi gagal dan terpaksa masuk ke rumah menggunakan kunci pendua. Sebaik masuk, mereka ternampak ada darah mengalir keluar dari bawah pintu sebuah bilik yang berkunci sebelum melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya.

Sumber berkata, anggota polis yang menjalankan pemeriksaan kemudian menemui mayat seorang wanita dalam keadaan tubuhnya sudah mula mereput dengan kesan kelar dileher. Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan fizikalnya yang sudah mula mereput. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan berhubung penemuan mayat wanita berkenaan, namun memaklumkan identitinya sedang dikenal pasti. Beliau akan mengadakan sidang media pada jam 2.30 petang ini dipercayai berhubung perkembangan siasatan kehilangan Siti Kharina.

Sementara itu, adik mangsa menerusi satu posting di laman Facebook menggunakan nama Khairani Kamarudin memaklumkan kakaknya, Siti Kharina sudah meninggal dunia.

“Assalamualaikum… kakak saya Siti Kharina telah dijumpai dan sudah meninggal dunia. Jenazah akan dikebumikan di Kampung Tengah Seri Menanti berkemungkinan besar selepas Asar. Jika berniat untuk ziarah boleh ke Kampung Tengah Seri Menanti,” tulisnya.

Siti Kharina, 40, sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun. Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu. Beliau dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih. – BH Online

Leave a Reply