Input your search keywords and press Enter.

Bangladesh kuatkuasa larangan menangkap ikan 65 hari

M Update, 21/05/2019 – Bangladesh mengeluarkan perintah larangan menangkap ikan selama 65 hari bagi membantu menambah bekalan ikan negara itu.

Kerajaan menerusi Menteri Perikanan dan Haiwan Ternakan, Ashraf Ali Khan Khasru berkata, larangan berkenaan mencakupi semua jenis kapal nelayan dan mula berkuat kuasa semalam.

Larangan bermula 20 Mei hingga 23 Julai itu selari dengan musim pembiakan ikan di perairan negara terbabit.

“Sumber ini akan berkurangan satu hari nanti jika kita mula bertindak dari sekarang.

“Kita perlu membiarkan semua ikan ini membesar dan membiak atau berdepan masalah pada masa akan datang,” katanya dipetik akhbar Dhaka Tribune sebagai berkata.

Menurut kerajaan, larangan itu akan dikuatkuasa oleh pasukan pengawal pantai dan tentera laut di sepanjang perairan Teluk Bengal.

Sebelum ini terdapat larangan jangka pendek ke atas industri menangkap ikan secara komersil namun ia adalah kali pertama peraturan seumpama ini diwujudkan ke atas semua bot menangkap ikan, termasuk milik nelayan tempatan untuk satu jangka waktu yang agak panjang.

Kerajaan berkata, larangan berkenaan akan dilaksanakan secara tahunan antara 20 Mei hingga 23 Julai, bermula tahun ini.

Susulan arahan, persatuan nelayan meminta Perdana Menteri menimbangkan semula arahan itu, selain mendesak diberikan pampasan.

Ikan khususnya dari jenis hilsa adalah makanan penting kepada diet masyarakat tempatan dan turut diproses untuk dieksport. – Agensi

Leave a Reply