Input your search keywords and press Enter.

1,000 menganggur, rangkaian restoran Jamie Oliver ditutup Share

M Update, 23/05/2019 – Penutupan rangkaian restoran milik cef selebriti Britain, Jamie Oliver bakal menyebabkan kira-kira 1,000 kakitangannya menganggur ketika majoriti cawangan itu menghentikan operasinya serta-merta.

Oliver, 43, individu terkenal di Britain dan luar negara kerana populariti rancangan masakan di televisyen serta buku tulisannya, mengasaskan restoran mewah Itali, Jamie’s pada 2008.

“Saya amat sedih dengan keputusan ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan pembekal kami yang meletakkan sepenuh jiwa raga terhadap perniagaan ini selama lebih sedekad,” kata Oliver.


Jamie Oliver sedih majoriti restorannya yang beroperasi lebih sedekad lalu ditutup kerana perubahan tabiat pelanggan. -Foto AFP

Kira-kira 1,000 kakitangan kehilangan pekerjaan ketika 22 daripada 25 cawangan restoran itu ditutup serta-merta, kata pentadbir KPMG dengan dua cawangan di Lapangan Terbang Gatwick dan Jamie Oliver’s Diner dibuka dalam jangka pendek.

Kumpulan itu mengambil kira-kira 1,300 kakitangan secara keseluruhan.

Alin Ciocan, 28, sedang bersiap sedia memulakan tugas syif di cawangan Victoria di sini apabila mendengar ia tidak akan dibuka dan dia hilang pekerjaan.

“Saya tidak percaya pada mulanya. Saya benar-benar suka melayan pelanggan, namun ia adalah situasi aneh ketika ini kerana semua restoran kasual dan mewah ditolak,” katanya.

Rangkaian restoran milik Oliver menjadi mangsa terbaharu persekitaran kejam perniagaan di jalanan mewah Britain.

Mac lalu, Boparan Restaurant Group (BRG) berkata, ia merancang menutup lebih satu pertiga rangkaian restoran ‘Giraffe and Ed’s Easy Diner’ sementara cawangan Carluccio’s, Prezzo, Strada and Gourmet Burger Kitchen ditutup pada 2018.

Perubahan tabiat pelanggan menyaksikan peningkatan untuk aplikasi makanan bawa pulang seperti Just Eat dan Deliveroo serta ramai gemar memilih khidmat makanan pantas berbanding mewah seperti Jamie’s.

Data daripada Kantar menunjukkan, kurang lima juta kunjungan untuk makan di restoran dalam tempoh 12 minggu sehingga 24 Mac lalu, berbanding setahun sebelumnya. Jualan di restoran seperti itu menurun enam peratus dalam tempoh sama.

“Persekitaran perniagaan terkini untuk syarikat dalam sektor hidangan kasual agak sukar,” kata pentadbir bersama dan rakan kongsi di KPMG, Will Wright, mengenai rangkaian restoran milik Oliver, menambah cubaan membawa masuk pelaburan tambahan gagal.

Pentadbiran itu yang memberi perlindungan pemiutang, turut menjejaskan Barbecoa, restoran stik dan Fifteen London, restoran pertama Oliver yang diasaskan pada 2002, syarikat usahawan diwujudkan untuk melatih golongan muda.

Oliver, yang mula memasak pada usia lapan tahun di pub milik ibu bapanya di Essex, timur laut ibu kota ini ditemui saluran televisyen BBC ketika bekerja sebagai cef di River Cafe pada lewat 1990-an.

Rancangan ‘Naked Chef’ yang disiarkan di puluhan negara, menjadikannya terkenal pada usia 21 tahun. -Reuters

Leave a Reply