Input your search keywords and press Enter.

Boleh Rakam Gambar Kenderaan Menggunakan Lorong Kecemasan

M Update. 27/5/2019 – Pengguna jalan raya boleh merakam gambar kenderaan yang dipandu di lorong kecemasan sepanjang Ops Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri ini dan menyalurkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata maklumat yang tepat dan lengkap termasuk nombor pendaftaran kenderaan serta lokasi perlu disertakan bagi memudahkan tindakan susulan diambil. Bagaimanapun, katanya, orang ramai tiada hak untuk mengambil tindakan sendiri dan perlu menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasat lanjut.

“Jika ada pemandu sengaja memandu di lorong kecemasan, kita mengalu-alukan orang ramai untuk salurkan aduan supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2019 semalam. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. Ops bersepadu itu yang bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ bermula Ahad sehingga 12 Jun. Loke berkata, sempena perayaan Aidilfitri ini,

Kementerian Pengangkutan mengeluarkan larangan lima hari terhadap kenderaan berat menggunakan jalan raya bermula pada 1, 2, 3, 8 dan 9 Jun ini. Kementerian juga akan terus meningkatkan kempen kesedaran dan memberi tumpuan penguatkuasaan di jalan persekutuan, jalan bandaran serta jalan luar bandar dalam usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2019, sebanyak 20,829 kemalangan direkodkan dan angka itu berkurang berbanding tahun sebelumnya iaitu 21,041 kes. Bagi tempoh sama, katanya, sebanyak 197 kematian akibat kemalangan direkodkan berbanding 208 kematian pada 2018 iaitu penurunan sebanyak 11 kes. Pada pandangan saya angka kematian untuk tempoh dua minggu sepanjang musim perayaan masih tinggi dan saya berharap semua pihak termasuk pengguna jalan raya berusaha membantu mengurangkan angka ini,” katanya. – BH Online

Leave a Reply