Input your search keywords and press Enter.

Huawei Kekal Di Tangga Kedua

M Update, 29/5/2019 – Syarikat telekomunikasi China, Huawei mengekalkan kedudukan selaku vendor telefon pintar kedua terbesar di dunia pada suku pertama, sebelum disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat (AS), demikian menurut firma penyelidikan dan penasihat Gartner.

Gartner juga berkata, Huawei terus mengurangkan jurang dengan Samsung, tetapi memberi amaran bahawa pertumbuhan boleh dihadkan dalam tempoh terdekat. AS pada 15 Mei menyekat Huawei daripada membeli barangan AS, mendakwa syarikat itu terbabit dalam kegiatan bertentangan dengan keselamatan negara.

Pentadbiran Trump melembutkan pendiriannya minggu lalu dengan memberi izin Huawei membeli barangan AS hingga 19 Ogos. Gartner berkata, Samsung mengekalkan kedudukan itu dalam jualan telefon pintar di seluruh dunia, mencapai penguasaan pasaran 19.2 peratus pada suku pertama 2019. Huawei mencapai pertumbuhan tertinggi tahun ke tahun dalam kalangan lima pengeluar telefon pintar, iaitu Samsung, Huawei, Apple, OPPO dan Vivo.

Huawei menjual 58.4 juta unit telefon pintar pada suku dikaji, dengan pertumbuhan di semua rantau, kata laporan itu. Jumlah keseluruhan jualan global telefon pintar kepada pengguna akhir turun 2.7 peratus pada suku dikaji, dengan 373 juta unit dijual. Huawei menonjol dengan baik di dua pasaran terbesarnya, Eropah dan Tanah Besar China, yang mana jualan telefon pintar masing-masing meningkat sebanyak 69 peratus dan 33 peratus. Huawei menguasai 29.5 peratus pasaran telefon pintar Tanah Besar China. Tetapi impak tindakan AS terhadap Huawei membimbangkan pembeli.

PriceSpy, laman perbandingan produk yang menarik purata 14 juta pelawat setiap bulan, berkata minggu lalu telefon bimbit Huawei mencatat klik yang berkurangan daripada pembeli dalam talian. – Reuters

Leave a Reply