M Update, 30/05/2019 – Cuaca kering dan panas akan melanda pantai timur Australia sekurang-kurangnya tiga bulan lagi, kata biro cuaca negara itu hari ini dalam ramalan yang dilihat bakal mengancam pengeluaran hasil pertanian.
Biro Meteorologi dalam ramalan cuaca berkata, hanya terdapat 30 peratus kemungkinan untuk pantai timur Australia menerima kedatangan hujan antara 1 Jun hingga 30 Ogos.
Walaupun cuaca kering berkenaan hanya melanda pantai timur Australia, biro cuaca itu berkata, terdapat 70 peratus kemungkinan untuk negara terbabit merekodkan suhu lebih hangat berbanding biasa untuk tempoh tiga bulan akan datang.
Ramalan cuaca itu menyebut kemarau yang pernah memusnahkan pengeluaran pertanian seluruh Australia itu berterusan untuk tahun ketiga.
Pengarah Strategi Pertanian Bank Komanwel Australia, Tobin Gorey berkata, ia menimbulkan kebimbangan berhubung pengeluaran hasil pertanian, khususnya eksport terbesar negara itu iaitu gandum.
“Kebimbangan terhadap kekurangan hujan di rantau pertanian Australia semakin meningkat,” katanya.
Ketua ramalan komoditi Australia itu berkata, pengeluaran gandum dijangka melonjak sebanyak 38 peratus kepada 23.9 juta tan namun memberi amaran, taburan hujan amat diperlukan.
Berikutan cuaca buruk itu, beberapa penganalisis persendirian sudah mula mengurangkan jangkaan masing-masing kepada hanya 18 juta tan. – Reuters