Input your search keywords and press Enter.

Lelaki guna pistol disiplin anak ditahan

M Update, 30/05/2019 – Seorang lelaki Jepun ditahan kerana menggunakan pistol untuk mendisiplinkan tiga orang anaknya, kata polis hari ini dalam siri kes penderaan kanak-kanak terbaru yang menyebabkan penggubal undang-undang mahu mengharamkan hukuman dera di negara itu.

Seorang pegawai polis berkata, lelaki berusia 45 tahun dari selatan bandar Kitakyushu memberitahu polis dia menggunakan pistol pegun terhadap dua anak perempuannya berusia 17 dan 13 serta anak lelaki berusia 11 tahun terutama ketika mereka tidak mengikut peraturan.

Menurut polis, kesan melecur kelihatan di tangan anak lelaki tetapi tiada kecederaan fizikal pada dua anak perempuannya.

Beberapa siri kes penderaan kanak-kanak berprofil tinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan mengejutkan Jepun, termasuk kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Yua Funato, yang dipukul dan dibiarkan kelaparan oleh bapanya atas nama disiplin.

Perdana Menteri, Shinzo Abe berkata ketika mendengar kematian kanak-kanak itu ia sungguh ‘menyayat hati’ dan beliau berjanji mengambil langkah untuk mengelak lebih banyak kematian.

Badan penggubal undang-undang di parlimen pada Selasa lalu sebulat suara meluluskan satu pelan untuk mengharamkan hukuman dera oleh ibu bapa terhadap anak mereka, membuka ruang untuk undang-undang itu disemak semula ketika sidang semasa.

Lebih 50 negara kebanyakannya di Eropah mempunyai undang-undang yang menghalang hukuman dera terhadap kanak-kanak di rumah, yang menurut beberapa penyelidik ia adalah bentuk disiplin yang tidak berkesan.

Jepun bakal menjadi negara ketiga di Asia untuk menguatkuasakan larangan sedemikian selepas Mongolia pada 2016 dan Nepal dua tahun kemudian. – Reuters

Leave a Reply