Salah satu daripada projek Melaka Gateway iaitu Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka yang bernilai RM682 juta dijangka siap pada September 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif pemaju projek pelabuhan laut dalam KAJ Development Sdn Bhd, Datuk Michelle Ong, berkata kerja-kerja pemasangan cerucuk telah bermula kelmarin dan ini adalah kritikal kerana cerucuk ujian, yang berukuran 53 meter, 45 meter dan 43 meter panjang, akan mengenal pasti reka bentuk keseluruhan terminal.
Dalam satu kenyataan beliau, projek pemasangan cerucuk dijangka mengambil masa tiga hari. Sebaik saja kerja-kerja pemasangan cerucuk siap, reka bentuk terminal itu akan lengkap dan projek itu boleh dilaksanakan. Kedalaman laut ialah kira-kira 13 hingga 15 meter yang membentuk pelabuhan semula jadi dan sehubungan itu kerja-kerja pengorekan adalah tidak perlu.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa syarikat itu memperoleh semula lesen operasi bulan lalu dan menerima sokongan daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri dan disebabkan itu projek terminal tersebut akan dipercepatkan mulai sekarang.
Projek pemasangan cerucuk bagi Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka itu dilancarkan kelmarin oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak.
Ong berkata KAJ Development menjangka kedatangan pelancong ke negeri itu menerusi kapal persiaran membabitkan kos minimum AS$200 bagi setiap satu yang akan meningkatkan perolehan negeri dan juga negara.
“Kami juga meminta kerajaan negeri menubuhkan agensi untuk mendaftar vendor tempatan yang berminat dalam kemudahan pengisian di pelabuhan itu,” katanya.
Menurutnya, syarikat itu berhasrat menjadi peneraju dalam industri maritim domestik dan bercadang membuka universiti maritim untuk memberi manfaat kepada pelajar tempatan.
Beliau berkata, sebaik siap, projek Melaka Gateway akan menghasilkan 45,000 hingga 60,000 pekerjaan