M Update, Peguam, Syazlin Mansor bertekad akan terus mewakili keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner yang bakal bersambung semula, pada 26 Jun ini.
Syazlin menjelaskan, keputusan berkenaan diambil selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga arwah, khususnya bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid yang merayu untuk beliau terus mewakili mereka dalam usaha menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba berkenaan. Alasannya (ubah pendirian) ialah selepas berbincang dengan ayah Adib, beliau meminta dan merayu untuk saya terus mewakili mereka. Saya sudah rapat dengan keluarga arwah Adib, jadi saya perlu teruskan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Pada 27 Mei lalu, Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam.
Peguam Negara, Tommy Thomas, menerusi kenyataan pada 28 Mei lalu, pula tampil menjelaskan kekeliruan dan spekulasi yang timbul berhubung penarikan diri Syazlin daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.
Saya adalah peguam yang dilantik mewakili pihak-pihak berkepentingan, justeru betullah tindakan Menteri (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin) dalam melantik saya sebagai peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JBPM.
“Alasan kedua bahawa wujud konflik kepentingan juga adalah tidak berasas kerana keluarga arwah (Muhammad Adib) tidak pernah berhasrat untuk menyaman KPKT dan JBPM. Keluarga arwah dan JBPM tidak pada bila-bila masa berada dalam keadaan kepentingan yang bertentangan,” katanya. -BH Online