Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : China Lancar ‘Pasport Vaksin’ Pertama Dunia

M Update, 10/03/2021 – China melancarkan sistem yang dipanggil ‘pasport vaksin’ bagi memulakan program perjalanan antarabangsa. Warganegara China boleh memuat turun sijil berkenaan dan menggunakannya untuk keluar dan masuk ke China.

Ia turut memaparkan status vaksinasi dan keputusan ujian terhadap virus. Kementerian luar berkata, sistem berkenaan bertujuan untuk ‘membantu mempromosi pemulihan ekonomi dan membantu perjalanan rentas sempadan’. Ia dianggap sebagai pasport vaksin pertama di dunia sama seperti yang dibincangkan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, sijil kesihatan antarabangsa itu hanya boleh digunakan oleh rakyat China buat masa ini dan penggunaannya belum diwajibkan. Penggunaannya juga masih belum jelas di peringkat antarabangsa.

Program dilaksanakan China merangkumi kod QR yang membenarkan setiap negara mendapatkan maklumat kesihatan pelancong, lapor media agensi Xinhua semalam.

‘Kod QR kesihatan’ dalam WeChat dan aplikasi telefon pintar China lain kini diperlukan untuk dibenarkan masuk ke dalam pengangkutan domestik dan kebanyakan kawasan awam lain di China.

Aplikasi itu mengesan lokasi pengguna dan menghasilkan kod ‘hijau’ jika pengguna tidak menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19, atau berkunjung ke kawasan penularan virus, namun ia turut mencetus kebimbangan mengenai isu privasi dan pemantauan kerajaan.