Input your search keywords and press Enter.

Malaysia, China komited bangun MCKIP dan CMQIP

M Update, 14/06/2019 – Malaysia dan China komited memberi sokongan padu untuk terus meningkatkan lagi fasilitasi dan pelaksanaan pembangunan di Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Pembangunan Taman Berkembar itu adalah projek utama yang memperlihatkan kerjasama kukuh kedua-dua negara dalam ekonomi, pelaburan dan perdagangan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata Malaysia dan China bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam membangunkan Taman Berkembar itu dengan memberi tumpuan dalam menggalakkan pelaburan dan kerjasama perindustrian merentas sempadan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan terkini yang dibentangkan pada mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama Keempat mengenai CMQIP dan MCKIP hari ini, memperlihatkan MCKIP mencatatkan komitmen dan potensi pelaburan hampir RM20 bilion setakat ini.

Katanya, pelaburan yang dilaporkan itu memberangsangkan dan berharap akan lebih banyak lagi pelaburan masuk ke taman perindustrian seluas 1,400 hektar itu.

“Kami tidak mempunyai sasaran (pelaburan ke dalam MCKIP). Pertanyaan minat pelaburan terus diterima. Kami berharap lebih banyak pelaburan masuk ke dalam MCKIP,” katanya pada sidang media sempena mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama Keempat mengenai CMQIP dan MCKIP di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Penolong Menteri Kementerian Perdagangan China, Li Chenggang dan Naib Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Fei Zhirong.

Mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama itu adalah platform utama bagi kedua-dua negara memantau pembangunan bersama Taman Berkembar.

Pada mesyuarat itu juga turut membentangkan kemajuan pembangunan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Qinzhou.

Mengenai perkembangan di CMQIP, Li Chenggang berkata, terdapat lebih 360 syarikat enterpris mendaftar di taman perindustrian dan 42 projek perindustrian utama dengan jumlah pelaburan sebanyak RM38.75 bilion.

Leave a Reply