Input your search keywords and press Enter.

Polis acu senjata insiden curi anak patung, datuk bandar mohon maaf

M Update, 17/06/2019 – Datuk Bandar Phoenix Kate Gallego memohon maaf dan memanggil mesyuarat penduduk minggu ini di tengah kemarahan awam berhubung video tular menunjukkan polis mengacukan senjata ke arah ibu bapa kanak-kanak kulit hitam berusia empat tahun kerana didakwa mencuri anak patung.

Video telefon bimbit menunjukkan, seorang pegawai polis Phoenix, Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan senjata dan menjerit kata-kata mencarut selepas bapa, ibu dan dua anak perempuan mereka meninggalkan kedai Family Store pada 27 Mei lalu.

Ibu bapa terbabit tidak menyedari seorang daripada anak perempuan mereka mengambil anak patung tanpa membayarnya, menurut keluarga itu. Polis kemudian dimaklumkan berhubung kecurian itu oleh kakitangan kedai.

Pegawai mengekori keluarga itu di lot parkir berhampiran kompleks pangsapuri berhampiran dengan sekurang-kurangnya seorang daripadanya mengeluarkan senjata, memaki hamun ibu bapa terbabit dan menjerit supaya mereka mengangkat tangan, sambil mengugut menembak mereka jika enggan, menurut paparan video.

Gallego menulis di Twitter lewat kelmarin, insiden itu yang mencetuskan kemarahan di media sosial menyebabkan beliau ‘merasa amat kecewa.’

Datuk Bandar Phoenix Kate Gallego.

Beliau memohon maaf kepada keluarga berkenaan dan mengakui bandar itu akan mempercepatkan pengeluaran kamera tubuh supaya setiap kawasan polis memilikinya menjelang Ogos ini.

“Situasi dengan perlakuan seperti ini tidak akan diterima. Sebagai ibu, melihat anak-anak berdepan situasi menakutkan melampaui perasaan kecewa,” katanya di Twitter.

Video itu, dirakam seorang pemerhati, menunjukkan Iesha Harper, 24, keluar dari sebuah kereta bersama dua anak perempuannya, London Drake, setahun, dan Island Drake, empat tahun, mendukung seorang daripadanya.

Seorang pegawai polis menjerit ke arahnya sementara pegawai ketiga menggari tunangnya, Dravon Ames, 22.

Peguam mewakili pasangan itu, Thomas Horne, berkata pegawai terbabit melakukan jenayah, menahan secara salah, tidak mengikut undang-undang, menyebabkan kemurungan emosi dan melangar hak asasi awam keluarga itu.

Dalam sepucuk surat kepada bandar itu minggu lalu, Horne berkata, keluarga itu bersedia menyelesaikan kes terbabit dengan pampasan AS$10 juta (RM41.75 juta).

Polis melancarkan siasatan dalaman dan pegawai terbabit ditugaskan di pejabat. -Reuters

Leave a Reply