M Update, 21/06/2019 – Pelarian Islam Rohingya yang hidup dalam kem di Bangladesh sekian lama mengimpikan hasrat untuk kembali ke kampung halaman di Myanmar, namun pihak berkuasa Dhaka berkata semalam, situasi masih terlalu bahaya untuk mereka pulang.
Lebih 700,000 etnik minoriti itu menyeberang ke dalam Bangladesh pada 2017, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), susulan tindakan keras tentera Myanmar dicetuskan serangan pemberontak Rohingya ke atas pasukan keselamatan.
Ribuan pelarian Rohingya berhimpun di kem Kutupalong, berhampiran bandar tenggara Bangladesh di sini semalam untuk menyambut Hari Pelarian Sedunia.
‘Tiada lagi kehidupan pelarian, kami mahu pulang ke tanah air,’ ‘Kami mahu hidup dengan bebas, aman dan bermaruah,’ kata-kata teriakan dan tulisan pada sepanduk.
Myanmar menganggap Muslim Rohingya sebagai pendatang haram dari benua kecil India itu.
Tahun lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju memulakan proses menghantar pulang pelarian namun rancangan itu ditentang majoriti pelarian, yang mahu Myanmar bersetuju dengan beberapa syarat terlebih dulu.
Agensi pelarian PBB dan kumpulan bantuan juga ragu-ragu dengan rancangan itu oleh kerana mereka bimbang dengan keselamatan Rohingya di Myanmar.
“Situasi masih bergolak di sana berikutan pertempuran antara tentera dan kumpulan pemberontak. Namun kami masih cuba memulakan proses penghantaran pulang secepat mungkin,” kata Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Bangladesh, Abul Kalam, yang melawat pelarian semalam.
Dengan rancangan penghantaran pulang sebahagian besarnya tertangguh, Bangladesh menimbang memindahkan pelarian Rohingya ke sebuah pulau di Teluk Bengal, namun sesetengah menyuarakan kebimbangan ia bakal menjurus kepada krisis baharu oleh kerana penempatan itu terdedah kepada serangan siklon. -Reuters