M Update, 24/06/2019 -Mayat kesemua tujuh pendaki yang maut ketika cuba menakluk puncak kedua tertinggi India ditemui hari ini selepas usaha mencari berterusan selama hampir sebulan di sekitar banjaran Himalaya.
Kumpulan lapan pendaki itu yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu terdiri daripada empat rakyat Britain, dua warga negara Amerika Syarikat dan masing-masing seorang dari India serta Australia.
Sekumpulan pendaki dari pasukan separa tentera Polis Sempadan Indo – Tibet (ITBP) menemui tujuh mayat berkenaan berhampiran puncak tanpa nama di Nanda Devi Timur.
Jurucakap ITBP, Vivek Kumar Pandey berkata, operasi mencari mayat terakhir akan disambung Isnin.
Menurut beliau, semua mayat terbabit dibawa ke tapak berhampiran dan pasukan mencari turut menemui beberapa peralatan serta kelengkapan mendaki.
Identiti mayat pendaki yang ditemui itu masih belum dipastikan.
Kesemua lapan pendaki berkenaan adalah sebahagian daripada sekumpulan 12 individu namun empat rakyat Britain yang lain berjaya diselamatkan selepas terpisah.
Kumpulan utama yang diketuai pendaki British berpengalaman, Martin Moran hanya memperoleh kebenaran untuk mendaki puncak Nanda Devi di bahagian timur.
Namun hantaran dibuat Moran di Facebook pada 22 Mei menyatakan bahawa mereka cuba mendaki puncak tanpa nama yang memiliki ketinggian kira-kira 6,500 meter.
Komunikasi semua pendaki yang hilang itu kali akhir dibuat pada 26 Mei, sehari sebelum salji tebal dan runtuhan berlaku di kawasan gunung berkenaan. – AFP