M Update, 27/6/2019 – Mulai sekarang, penerbit berita di Malaysia perlu berhati-hati apabila menyiarkan artikel dalam Facebook susulan pelancaran program semakan fakta pihak ketiga oleh pentas sosial itu dengan kerjasama Agence France-Presse (AFP).
Program yang bermula semalam itu bertujuan mengurangkan penyebaran maklumat palsu dalam talian dan membantu membentuk masyarakat yang lebih bermaklumat di negara ini. Ia turut membabitkan semakan semula dan mengkaji semula ketepatan berita dalam Facebook, termasuk foto dan video, oleh AFP.
Pengurus Rakan Strategik Facebook Malaysia, Alice Budisatrijo, berkata memerangi kandungan tidak sah dan menangani pengedaran berita palsu dalam Facebook adalah sebahagian besar usaha mereka untuk memastikan berita berkualiti tinggi diperoleh pembaca media sosial.
Apabila kita bercakap mengenai kandungan tidak sah, sudah tentulah antaranya berita palsu, salah maklumat… tetapi juga kandungan yang disebarkan oleh pelaku buruk – orang yang berniat tidak baik semasa mereka menggunakan Facebook. Jelas sekali, kami tidak mahu mereka (pelaku jahat), sebab apabila orang melayari Facebook, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan berita, kami mahu mereka mencari berita bermaklumat yang berwibawa, bermutu tinggi, yang mudah-mudahan turut menghiburkan,” katanya.
AFP, diperakui oleh Rangkaian Penyemak Fakta Antarabangsa bukan partisan Poynter Institute, akan akan menyemak fakta kandungan Facebook dalam bahasa Inggeris dan Melayu berlandaskan kriteria standard untuk menentukan kesahihan sesuatu berita. Menurut Budisatrijo, apabila semakan fakta pihak ketiga menentukan sesuatu berita itu sebagai palsu, ia akan dipaparkan di bahagian bawah dalam News Feed, yang mengakibatkan penyebarannya di media sosial semakin berkurangan.
Sebagai tambahan, apabila semakan fakta pihak ketiga menulis artikel mengenai sesuatu kandungan yang dikenal pasti sebagai palsu, Facebook akan secara automatik memaparkan ‘Artikel Terkait’ di bawah artikel yang disebarkan di halaman News Feed. Bagaimanapun, halaman yang berulang kali berkongsi berita palsu akan mendapati penyebaran itu berkurangan dan keupayaan mereka untuk memperoleh kewangan serta pengiklanan dikeluarkan. – BH Online