Input your search keywords and press Enter.

Kaedah Kawalan Terhadap Vape Akan Dikaji

M Update, 28/6/2019 – Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik (e-cigarette) atau vape.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kabinet dalam mesyuaratnya semalam setuju dengan penubuhan jawatankuasa khas itu yang diketuai timbalannya, Dr Lee Boon Chye.

“Saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut mengenai perkara ini tetapi ia membabitkan kawalan terhadap penggunaan alat ini,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 di sini, hari ini.

Sebelum ini, pentadbiran kerajaan sebelum ini sudah menubuhkan satu jawatankuasa berhubung penggunaan vape bagi menyeragamkan langkah kawalan terhadap vape secara menyeluruh. Jawatankuasa itu juga mengkaji kandungan cecair perisa vape mengikut peruntukan Akta Racun 1952, bagi menentukan sama ada ia mempunyai bahan yang menjejaskan kesihatan.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, penyakit akibat asap rokok menjadi antara penyebab utama jangka hayat rakyat Malaysia mendatar dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini. Katanya, penyakit akibat asap rokok tergolong dalam penyakit tidak berjangkit (NCD) yang jelas menyumbang kepada kematian tinggi di negara ini.

Purata jangka hayat rakyat Malaysia adalah 75 tahun iaitu 73 bagi lelaki dan 75 bagi wanita dan kajian ini menunjukkan tiada perubahan jangka hayat rakyat kita sejak lebih sedekad lalu berbanding negara jiran. Kita tidak mahu kematian rakyat negara sebelum ‘tempoh pramatang’ (purata 75 tahun) ini disebabkan penyakit-penyakit berpunca daripada asap rokok.

“Kita boleh membina seberapa banyak hospital dan menaik taraf kesihatan tetapi jika amalan kesihatan tidak dijaga, ia tidak akan memberi makna,” katanya.

Leave a Reply