M Update, 2/7/2019 – Mangsa dilaporkan jatuh ke dalam laut kira-kira pukul 6.15 petang semalam selepas seorang saksi yang berada di atas sebuah feri lain yang berselisih mendakwa melihat mangsa terjun. Mayat lelaki yang terjatuh dari sebuah feri yang dalam perjalanan dari Butterworth menuju ke George Town itu ditemui di perairan berdekatan Persiaran Gurney, George Town dekat sini sebentar tadi.
Mayat Tham Kok Keong, 47, ditemui kira-kira pukul 10.40 pagi oleh nelayan sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan perairan negeri ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, operasi berkenaan dimulakan pukul 8 pagi tadi selepas dihentikan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi. Mayat ditemui dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 4.8 kilometer dari lokasi mangsa terjun semalam.
Berdasarkan kad pengenalan yang ditemui di dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di atas feri itu, identiti mangsa disahkan dan kes diklasifikasikan sebagai bunuh diri ,” katanya kepada pemberita sebentar tadi. – K Online