Input your search keywords and press Enter.

Suspek Simbah Cat Rumah Aktivis Ditahan

M Update, 2/7/2019 – Empat ahli Geng 24 ditahan Unit Pencegahan Gengsterism Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman susulan serangan kes simbah cat ke atas rumah aktivis alam sekitar di Sungai Jarom di sini, 26 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, empat suspek berusia 20 hingga 31 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya, semalam. Soal siasat mendapati tiga daripada suspek mengaku terbabit secara langsung dalam kes berkenaan. Mereka mendakwa menerima upah daripada pihak tertentu bagi melakukan perbuatan itu.

Keempat-empat suspek juga mengakui menganggotai Geng 24,” katanya dalam kenyataan, semalam. Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan ketika serangan, pedang samurai, sepeket syabu dan telefon bimbit. Katanya, setiap suspek ada rekod kesalahan lampau antara satu hingga 10 kes termasuk kes jenayah, dadah selain tersenarai sebagai orang dikehendaki.

Dalam perkembangan sama, sumber memberitahu Harian Metro kenderaan yang dirampas jenis Honda City biru. Menurutnya, kenderaan itu dipercayai disewa suspek untuk digunakan ketika serangan. Kesan cat merah di bahagian penumpang hadapan kereta itu masih ada,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, sumber memberitahu, siasatan pihaknya mendapati suspek diupah RM2,000 untuk kerja berkenaan dipercayai bagi menimbulkan ketakutan terhadap mangsa. Apa pun tindakan kami tidak berhenti setakat ini. Siasatan seterusnya memberi tumpuan terhadap individu atau dalang yang mengupah mereka,” katanya. Sumber berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Telok Datok di sini, jam 8 pagi ini untuk tindakan reman.

Bermula 26 Jun lalu, Harian Metro melalui laporan khas mendedahkan segelintir usahawan sampah dikesan masih aktif menjalankan kegiatan mengimport skrap plastik biarpun premis mereka sudah disita. Susulan pendedahan itu, rumah aktivis alam sekitar yang bekerjasama dengan wartawan disimbah cat oleh dua lelaki tidak dikenalinya sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat. Sebaik menerima laporan itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengarahkan JSJ Bukit Aman memburu dalang terbabit sebelum operasi khas dinamakan Op Simbah dilancarkan. – HM Online

Leave a Reply