M Update, 10/7/2019 – Sistem pengurusan kamar berkomputer di maktab penginapan kelolaan Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah menjimatkan masa jemaah haji menunggu untuk ditempatkan di kamar masing-masing.
Melalui sistem yang mula dilaksanakan pada musim haji tahun ini, pihak TH akan menentukan kamar jemaah haji masing-masing dua hari sebelum jemaah itu tiba di Makkah.
Sebelum ini, jemaah haji terpaksa menunggu beberapa jam juga sehingga diberikan kamar penginapan masing-masing tetapi melalui sistem berkomputer ini, kamar jemaah itu ditentukan terlebih dulu dan diuruskan sistem berkomputer berbanding secara manual.
Dengan sistem ini kita jangka masa menunggu jemaah sebelum ditempatkan di kamar itu dapat dipendekkan sehingga kira-kira 30 minit sahaja.
Bagi musim haji tahun ini, TH menyediakan 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos depan.
TH menyediakan sembilan maktab penginapan di Makkah untuk jemaah haji Malaysia dan 60 petugas TH bagi memastikan kebajikan jemaah haji di maktab tebabit.
Sumber : Bernama