Input your search keywords and press Enter.

Arak Tanpa Alkohol, Jangan Kelirukan Umat Islam

M Update, 15/7/2019 – Syarikat pengeluar minuman keras di negara ini dinasihat supaya tidak mengelirukan pengguna, khususnya umat Islam, dengan produk arak dikatakan tanpa alkohol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menegaskan pengeluaran produk sedemikian adalah tidak wajar dan mengelirukan. Jelas sekali tindakan syarikat minuman keras mengeluarkan minuman dengan label tanpa alkohol amat mengelirukan. Ini kerana proses penghasilan minuman itu, termasuk penyulingan air, dibuat dalam kerangka menghasilkan arak (minuman beralkohol).

“Kita tahu ia syarikat arak, maka walaupun kata tiada alkohol, ia menimbulkan kekeliruan dan boleh menyebabkan umat Islam menganggap benda itu mereka boleh gunakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat meraikan 207 jemaah haji Parlimen Parit Buntar, semalam.

Beliau mengulas penularan isu produk syarikat minuman keras dikatakan tanpa alkohol dan kini berada dalam pasaran, termasuk rangkaian kedai serbaneka, yang dilihat mengelirukan umat Islam. Justeru, Mujahid menasihati pengguna Islam supaya tidak membeli atau menggunakan sebarang produk yang diragui status halalnya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memuat naik penerangan bertajuk ‘Alkohol dan Arak’ mengenai isu berkenaan dalam laman Facebook rasminya, semalam. Menurut penerangan itu, minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling, adalah haram diminum. Hukum haram itu adalah berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. – BH Online

Leave a Reply