M Update, 15/7/2019 – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas sejumlah ubat kuat lelaki jenama Soloco Candy disyaki mengandungi racun berjadual Tadalafil bernilai RM510,000 di sebuah kilang di Damansara semalam.
Pengarahnya, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, serbuan pukul 9.30 pagi itu dilakukan selepas pihaknya mendapati kilang itu menjalankan aktiviti pengilangan produk kesihatan tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan makanan. Katanya, ini merupakan kali kedua kilang itu diserbu JKNS.
“Kita turut merampas kosmetik tidak bernotifikasi dengan anggaran nilai RM124,000 dan beberapa mesin pengilangan. Kesemuanya dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai dinasihatkan tidak membeli sebarang ubat yang tidak berdaftar secara dalam talian. Ujar beliau, orang boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi komestik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
Aduan dan maklumat berkaitan juga boleh dilakukan melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) iaitu http://moh.spab.gov.my atau menghubungi talian 03-78413200. – HM Online