Input your search keywords and press Enter.

Pasir Gudang Bandar Industri Pertama Miliki Sistem Amaran Awal Pencemaran

M Update, 24/2/2020 – Kawasan Pasir Gudang kini dilengkapi Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara bernilai RM6.9 juta yang mampu mengesan bahan pencemar berbahaya dalam udara sekali gus muncul sebagai bandar industri pertama di negara ini yang dilengkapi sistem amaran seumpama itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata sistem pengawasan itu akan memantau kualiti udara secara nyata bagi memberi amaran awal sekiranya berlaku sebarang insiden pencemaran.

“Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara ini dilengkapi dengan alat penggera untuk mengesan bahan pencemar berbahaya di dalam udara yang mampu memaklumkan pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) secara terus sekiranya berlaku pencemaran udara bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan segera diambil terhadap punca pencemaran.

“Ia melibatkan pemasangan 25 Stesen Photoionization Detector (PID) di 25 lokasi termasuk sekolah di sekitar Pasir Gudang dan enam unit Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) serta dua unit bergerak Gas Chromatography – Mass Spectrometry (GCMS) dan Gas Chromatography – Flame Ionization Detector (GCFID),” katanya.

Terdahulu, beliau yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) kementerian Dr K. Nagulendran; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon; Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar serta Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff turut turun padang meninjau operasi Stesen PID di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan dua unit bergerak berkenaan.

Yeo berkata selepas insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac tahun lepas, kerajaan tidak mahu kejadian terbabit berulang lalu memikirkan cara untuk mempertingkatkan pemantauan industri di kawasan berkenaan. Beliau berkata sehubungan itu, jika berjaya, Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara berkenaan boleh diperluaskan ke kawasan perindustrian lain di seluruh negara.

Katanya, orang ramai juga dijangka boleh mendapatkan maklumat (bacaan kualiti udara) di 25 lokasi PID berkenaan, menerusi laman sesawang JAS, mulai suku kedua tahun ini. Dalam perkembangan sama, Yeo berkata JAS melipatgandakan aktiviti penguatkuasaaan terhadap kilang dan premis di sekitar Pasir Gudang supaya semua pihak mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya.

Menurutnya, sebanyak 664 pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun lepas terhadap pihak industri berbanding 460 pada tahun sebelumnya manakala 769 tindakan notis, kompaun, sitaan serta mahkamah dikenakan dalam tempoh sama berbanding 97 tindakan pada tahun sebelumnya.

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap penjenayah kelestarian alam sekitar. Suspek yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim sudah dihadapkan di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang berada dalam peringkat perbicaraan,” katanya.

Menurut Yeo, selain penguatkuasaan di lapangan, JAS turut menjalankan pemantauan melalui sistem dalam talian seperti kualiti pelepasan efluen industri menerusi Online Environmental Reporting (OER) dan pergerakan sisa buangan terjadual melalui Electronic Schedule Waste Information System (E-SWIS) dan sistem itu mampu mengesan pergerakan buangan terjadual daripada industri kepada kemudahan pengolahan atau pelupusan yang dilesenkan oleh JAS.

Pemantauan atau intipan dengan menggunakan dron turut dilaksanakan mulai 23 Okt lepas bertujuan mengesan apa jua pencemaran dan punca pencemaran dengan lebih cepat agar tindakan membendung dapat diambil lebih awal, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply