Input your search keywords and press Enter.

Undi 18: Dewan Negara Lulus Pindaan

M Update, 26/7/2019 – Selepas 10 hari Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat, ia diluluskan di Dewan Negara semalam dengan majoriti dua pertiga.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan RUU itu, berkata pindaan itu selaras dengan amalan demokrasi dunia yang mana banyak negara maju seperti United Kingdom dan Jerman telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Berikutan perkembangan ini, belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun, langkah ini bertujuan memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan membuat program libat urus secara berterusan dalam memastikan golongan sasaran mendapat pendedahan dan memahami sistem demokrasi negara serta kepentingan menunaikan tanggungjawab mengundi. Beliau turut memberi komitmen untuk mengkaji sistem undi secara dalam talian (e-voting) yang dicadangkan beberapa senator bagi memudahkan sistem pengundian berikutan pertambahan pengundi susulan pindaan itu.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Vui Keong berkata pindaan itu menjadi perkara signifikan dalam landskap politik negara dan melahirkan penghargaan kepada kesemua 47 senator yang mengundi biarpun kesal kerana 20 senator tidak hadir ketika mengundi. -Bernama

Leave a Reply