Input your search keywords and press Enter.

Pengalaman Pilot TUDM Hadapi Komunis

M Update, 9/8/2019 – Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, kita sering disajikan dengan pelbagai kisah pejuang semasa era penentangan komunis, kebiasaannya kalangan anggota mahupun pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kisah getir yang ditempuh oleh bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, 70, yang berkongsi pengalaman berharga dalam kamus hidupnya, semasa berhadapan dengan ancaman komunis.

“Peranan TUDM juga sangat besar, malah saya sebagai bekas juruterbang helikopter Nuri, sebenarnya menghadapi ancaman lebih kritikal kerana ‘kami diburu, bukan pemburu’,” katanya.

“Komunis ni dia tunggu saja helikopter datang, kemudian mereka akan serang ketika kami ‘terapung’ di udara untuk ambil anggota yang meninggal atau cedera dan bila diserang, saya tidak boleh buat apa-apa, bukan senang nak bertempur bila tengah pegang stereng pesawat,” katanya.

Nor Ibrahim juga pernah menempuh pengalaman menerbangkan Nuri yang satu daripada generatornya sudah tidak berfungsi akibat ditembak pengganas komunis.

“Saya tidak mahu tinggalkan helikopter itu di kawasan yang tidak selamat, jadi saya cekalkan hati, terbangkan Nuri dan alhamdulillah saya selamat tiba ke pangkalan dan berada di sini untuk menceritakan kisah ini kepada kamu semua,” katanya.

Sejurus tiba di pangkalan, helikopter yang ditembak akan segera diperbaiki, setiap lubang kesan peluru akan ditampal dan setelah selesai dan dipastikan selamat, ia akan terbang semula untuk melaksanakan tanggungjawab menghantar bekalan atau anggota ke kawasan operasi.

“Tugas kami sangat penting, Nuri ni umpama ‘nyawa’ kepada anggota di kawasan operasi, kamilah yang akan hantar bekalan makanan, bawa keluar masuk anggota yang cedera atau meninggal,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, pemegang Ijazah Kedoktoran dalam kajian khusus berkaitan Nuri itu berkata, antara yang paling tidak dapat dilupakannya adalah semasa satu konvoi Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diserang hendap komunis di satu jalan berhampiran Gubir di Sik, yang mengakibatkan lima wira negara gugur.

Nor Ibrahim berkata, selepas serangan pada April 1975 itu, beliau yang ketika itu baru memegang jawatan pembantu juruterbang, diarah pergi ke lokasi serang hendap itu untuk membantu mengeluarkan mayat dan anggota yang cedera.

“Bila sampai ke lokasi, kami tidak boleh mendarat pun sebab banyak jerangkap samar di situ, jadi kami hanya terapung di udara, di bawah saya nampak ramai yang cedera dan mayat sudah diikat pada tali untuk ditarik naik ke helikopter.

“Keadaan agak sukar untuk menaikkan mayat pada masa itu, saya peluk satu mayat, penuh darah dia di badan saya. Mayat itu kawan saya Pegawai Risik, Kapten Hardev Singh, sebelum kejadian saya sempat minum di Butterworth dengan mendiang dan dia cakap ‘jumpa anda di Gubir’.

“Bila di Gubir, memang betul saya ‘jumpa mendiang’… selepas kejadian itu isterinya ada beritahu saya terdapat 18 lubang pada badan mendiang,” katanya yang mengenang peristiwa itu sebagai pencetus baginya untuk berkongsi kisah-kisah di blog Jottings of Xnuripilot.

Sumber : Bernama

Leave a Reply