Input your search keywords and press Enter.

Maritim Malaysia Bantu Padam Kebakaran

M update, 15/8/2019 – Kebakaran kawasan belukar dan tanah gambut di Miri, Sarawak yang berlarutan sejak lebih seminggu lalu menyebabkan keadaan jerebu wilayah utara negeri berkenaan, dengan kualiti udaranya berada pada tahap bahaya.

Justeru, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk menggunakan pesawat Bombardier miliknya bagi memadam kebakaran yang berlaku berlaku di Kuala Baram itu.

Operasi memadam kebakaran menggunakan pesawat itu akan bermula esok dan pada masa sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus melakukan operasi pemadaman seperti biasa.

Sehingga kini keluasan kawasan yang terbakar mencecah 104 hektar, dengan 41.5 hektar kawasan terjejas akibat kebakaran berjaya dipadamkan.

Kerajaan Sarawak memohon untuk menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di lokasi kebakaran, namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mendapati keadaan atmosfera di kawasan itu tidak stabil dan tidak sesuai untuk OPA dijalankan minggu ini.

NADMA sudah memohon MET Malaysia dan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bersiapsiaga melakukan OPA sekiranya keadaan atmosfera bersesuaian.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri terus merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 361 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri sehingga jam 11 pagi tadi.

Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 pula merekodkan bacaan sangat tidak sihat (IPU 268) disebabkan kebakaran belukar tanah gambut yang berhampiran dengan stesen kualiti udara.

Menurut JAS, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung dan bahagian barat Sarawak. 

Sumber : Bernama

Leave a Reply