Input your search keywords and press Enter.

10,000 Lampu LED Bakal Terangi Jalan-Jalan Kampung

M Update, 20/8/2019 – Kerajaan memperuntukkan lebih 10,000 lampu tenaga jenis diod pemancar cahaya (LED) di jalan-jalan kampung bermula dari tahun ini hingga tahun hadapan melalui inisiatif Incentive Based Regulation (IBR).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia selaras dengan komitmen bagi mencapai penjimatan penggunaan tenaga sebanyak lapan peratus menjelang tahun 2025.

“Sebanyak 10,000 lampu jenis LED akan dipasang di jalan-jalan kampung di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) secara berperingkat melalui syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Skop projek bagi program ini adalah membekal dan memasang set lampu di tiang sedia, di kawasan-kawasan umum serta di hadapan bangunan awam seperti balai raya, surau, rumah ibadat serta di persimpangan-persimpangan jalan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Kampung jenis LED dari Dana IBR bertempat di Kampung Rinching Hilir, Mukim Beranang, Hulu Langat di sini semalam.

Katanya, penggunaan lampu jenis LED yang lebih terang dan cerah ini juga diharap dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan rakyat yang menggunakan jalan-jalan kampung. Khususnya dari aspek mengurangkan kadar jenayah dan kemalangan jalan raya, selain dapat membantu menjana aktiviti ekonomi komuniti kampung. Menurutnya, penggunaan lampu LED juga dapat menjimatkan penggunaan elektrik.

“Di bawah program ini lampu jalan lampung sedia ada jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) akan digantikan dengan lampu LED. Kementerian Pembangunan Luar Bandar memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung 2018,” katanya.

Pada tahun ini, disebabkan permohonan lampu jalan kampung yang mendapat permintaan tinggi dari kampung-kampung, pihak Kementerian telah memanjangkan permohonan peruntukan kepada Perdana Menteri agar Kementerian dapat meneruskan program di seluruh Malaysia,” katanya. Jelasnya, dengan pengumuman ini, bilangan keseluruhan lampu jalan kampung yang dipasang di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung akan mencapai anggaran 480,044 unit.

Dari segi operasi dan penyelenggaraan pula, kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM93 juta setahun. Kementerian amat berharap dengan perbelanjaan yang sangat besar begini, masyarakat luar bandar khususnya dapat menikmati kesejahteraan dalam kehidupan seharian,” katanya. -SH Online

Leave a Reply