Input your search keywords and press Enter.

‘Zikri Armstrong’ Tidak Mengaku Bersalah

M Update, 20/08/2019 – Seorang pegawai pemasaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini di atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan berhubung kematian Nora Anne Quoirin minggu lepas.

Muhammad Zikri Ibrahim, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.

Dia didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan profil akaun ‘Zikri Armstrong’ telah dengan sengaja mengaibkan dan secara sedar telah membuat kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan kepada masyarakat Orang Asli dengan maksud akan memecah dan menggugatkan keamanan awam.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini, pada 8.30 malam, 14 Ogos lepas.

Dia yang memakai baju T warna biru dan seluar jeans biru gelap didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Syazwan Mohd Salleh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bakal berkahwin Disember ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Sept untuk sebutan semula kes.

Media sebelum itu melaporkan, telah tular di Twitter satu ciapan oleh lelaki menggunakan nama ‘Zikri Armstrong’ berhubung kematian remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari.

Pada 16 Ogos lepas, polis menahan seorang lelaki yang memuat naik ciapan itu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Leave a Reply