Input your search keywords and press Enter.

MP Jordan Gesa Kerajaan Bertindak Tegas Pertahan Al-Aqsa

M Update, 21/08/2019 –   Ahli Parlimen (MP) Jordan mengadakan sesi tergempar semalam bagi menggesa kerajaan bertindak tegas dengan Israel, di tengah ketegangan berhubung perkarangan Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis.

Parlimen Jordan mahu membatalkan perjanjian damai negara itu dengan Israel, mengusir dutanya, memanggil pulang wakil negara itu ke Tel Aviv serta menghentikan semua urusan dengan negara Yahudi terbabit.

Kementerian Luar Jordan memanggil duta Israel, Amir Weissbrod Ahad lalu untuk menyuarakan ‘kutukan dan penolakan pelanggaran Israel’ di Al-Aqsa di mana pasukan keselamatan negara Yahudi itu menyerang puluhan ribu jemaah Palestin minggu lalu.

Menteri Luar Ayman Safadi memberitahu pembuat dasar, Israel diberi amaran ‘keras.’

Status diterima berhubung Al-Aqsa ialah sesiapa boleh mengadakan lawatan namun hanya Muslim boleh bersolat di sana. Bagaimanapun, ada tuntutan meningkat mengubah status itu oleh kalangan nasionalis pelampau sayap kanan Israel.

Penduduk Palestin di Baitulmaqdis mengalu-alukan pendirian Jordan itu, kata seorang anggota Majlis Wakaf Islam yang mentadbir Al-Aqsa, Khaleel Assali.

“Mereka melihat Jordan sebagai barisan pertahanan terakhir untuk Al-Aqsa,” katanya kepada laman web Arab News.

Pengarah Eksekutif Dana Hashim untuk pemulihan Al-Aqsa, Wasfi Kailani berkata, sesetengah pegawai kerajaan Israel menjadi punca masalah itu.

“Pada masa lalu, kami dimaklumkan hanya segelintir golongan radikal menggesa hak untuk bersolat di Al-Aqsa.

“Kini kita melihat 100 rabai menandatangani petisyen menggesa isu yang sama dan pegawai kanan kerajaan menegaskan perlunya perubahan terhadap status quo,” katanya. -Agensi

Leave a Reply