Input your search keywords and press Enter.

Hormati Perkara 8 CRC – SUHAKAM

M Update, 22/8/2019 – Isu berkaitan hak kanak-kanak mengekalkan identiti seperti dijamin dalam Perkara 8 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) perlu dihormati semua pihak.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam satu kenyataan, berkata perkara itu perlu diambil kira dalam pertimbangan terhadap kepentingan kanak-kanak susulan perbincangan berterusan mengenai status penukaran agama kanak-kanak secara sepihak di Selangor.

“SUHAKAM menyokong sebulat suara keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada 29 Januari tahun lalu yang menafsirkan perkataan ibu bapa dalam Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan sebagai merangkumi kedua-dua ibu dan bapa. Keputusan ini memberi pengiktirafan terhadap kepentingan kedua-dua ibu bapa yang mana ia adalah penafsiran undang-undang yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dengan meminda Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan atau menggubal undang-undang yang menyatakan dengan jelas tanggungjawab, hak dan keistimewaan identiti termasuk agama kanak-kanak, akan memelihara nilai utama toleransi dalam isu berkaitan kebebasan beragama serta kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata, usul pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) mengenai penukaran agama bawah umur secara sepihak akan dibincangkan dengan teliti kerana ia membabitkan Perlembagaan Persekutuan sebelum dibentangkan semula.

Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sedang meneliti kertas pembentangan itu dan beliau akan merujuk kembali kepada baginda selepas rundingan bersama semua ketua parti selesai termasuk pada peringkat Persekutuan. – BH Online

Leave a Reply